Apa itu Pelancongan?

Pengenalan

Pelancongan adalah gerakan sementara manusia ke destinasi lain di luar tempat kerja dan tempat tinggalnya yang biasa, kegiatan yang mereka lakukan selama tinggal di destinasi tersebut dan kemudahan yang disediakan untuk memenuhi keperluan mereka. Pelancongan dianggap sebagai satu kemewahan, ini kerana hanya segelintir orang yang mempunyai masa dan wang sahaja mampu melancong. Waktu senggang yang banyak, ekonomi yang semakin baik, kemudahan pengangkutan yang sempurna telah bergabung untuk membolehkan lebih banyak orang pergi melancong (Matthieson dan Wall, 1991).

Dalam konteks dunia hari ini, pelancongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi dan sosial yang semakin penting. Jumlah pelancong dalam negeri dan antarabangsa semakin meningkat malah, beberapa buah negara di dunia kini memajukan sektor pelancongan sebagai sektor utama yang menjana pendapatan negara (Inskeep, 1996). Pelancongan juga merupakan sektor yang melibatkan peranan yang saling kaitan antara pihak kerajaan, bukan kerajaan dan juga orang awam (Salah Wahab dan Cooper, 2003).

Dari perspektif sejarah, pelancongan bermula kira-kira 5000 tahun yang lalu selaras dengan perkembangan pertanian intensif, kota, kapal laut dan wang sebagai medium pertukaran. Perjalanan ini lazimnya didorong oleh perdagangan, ketenteraan dan pentadbiran kerajaan dari empayar besar seperti Sumeria, Yunani, Mesir, Parsi dan Rom di rantau Mediterranean dan Timur Tengah. Apabila empayar berkembang (terutamanya dalam abad ke 2 tahun Masihi), orang Rom khususnya telah membina sistem jalan raya yang lebar dan dibina dengan baik untuk menyediakan perhubungan pentadbiran dan perdagangan dari seluruh empayar dari Tembok Hadrian di Britain hingga ke Euphrates di Timur Tengah. Rumah tumpangan telah didirikan di setiap 30 batu di sepanjang jalan dan terdapat beberapa buah hotel di kebanyakan bandar. Rumah tumpangan ini dikaitkan dengan piktograf yang menunjukkan status kemudahan dan perkhidmatan (Inskeep, 1996).

Ironinya, begitulah serba ringkas senario perkembangan sektor pelancongan di dunia sehingga ke hari ini. Malah, kini dengan peningkatan ekonomi, kemudahsampaian yang tinggi serta jalinan hubungan yang baik antara sebuah negara dengan negara yang lain, sektor pelancongan terus menjadi sektor yang semakin berkembang terutamanya dalam konteks globalisasi dan dunia tanpa sempadan.


Dalam konteks Malaysia, pelancongan terus menjadi sumber utama tukaran wang asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan guna tenaga. Kedatangan pelancong sejumlah 16.4 juta pada tahun 2005 telah menyumbang sebanyak RM 18.1 bilion kepada pendapatan negara (Malaysia, 2006). Perkembangan sektor pelancongan di Malaysia telah dipengaruhi oleh perubahan yang besar dan potensi industri pelancongan pada masa hadapan. Memandangkan industri pelancongan kini merupakan satu pemangkin kepada pendapatan negara, maka pendekatan yang bersepadu dilaksanakan dalam perancangan dan perlaksanaan industri pelancongan secara mampan.

Comments

Popular posts from this blog

Tempat menarik di Cameron Highland !

Indahnya Melancong di Malaysia !